Daripada Muawiyah bin Haidatal Qusyairi katanya, aku bertanya Rasulullah s.a.w: “Siapakah orang yang paling patut aku berbuat baik?”.
Rasulullah s.a.w menjawab, “Ibumu”. Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Ibumu”. Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Ibumu”. Kemudian aku bertanya, “Lagi siapa?”. Rasulullah s.a.w menjawab, “Bapamu, kemudian orang yang paling hampir denganmu dan seterusnya”.
(Hadis Riwayat Tirmizi)
Pengorbanan Ibu Bapa
Menyentuh tentang jasa ibu bapa terhadap anaknya terlalu banyak. Sudah pasti, para ibu dan bapa akan menitiskan air mata jikalau ditanya tentang pengorbanan untuk membesarkan anak apatah lagi bagi golongan yang hidup dalam kemiskinan dan serba kekurangan dengan seratus peratus menggunakan kudrat sendiri untuk membela dan membesarkan anak-anaknya.
Ada sedikit perbezaan berbanding para ibu hari ini yang banyak bergantung kepada pembantu rumah serta penggunaan alat teknologi yang membantu meringankan beban atau tugas seorang ibu.
Imam Bukhari telah meriwayatkan sebuah kisah daripada Said bin Abi Burdah tentang seorang lelaki Yaman yang bertawaf sambil mendukung ibunya dengan penuh cermat. Sebaik selesai tawaf, beliau bertanya kepada Ibnu Umar :
“Apakah dengan khidmat dan pengorbananku ini telah dapat membalas jasa bakti ibuku?”
Jawab Ibnu Umar : “Tidak, apa yang telah kamu lakukan tadi tidak akan dapat menebus jasa ibumu sekalipun sekadar hembusan nafas ketika kesakitan melahirkan kamu.”
Justeru, berbuat baik serta melayan kedua ibu bapa dengan nilai budi bahasa yang sopan adalah amalan yang terpenting untuk disemat di hati.
Sebagai seorang anak kewajipan mendoakan ibu bapanya perlu diamalkan setiap hari. Apatah lagi sekiranya kedua-duanya telah meninggal dunia. Doa anak yang soleh akan terus-menerus sampai kepada ibu bapanya yang berada di alam kubur. Firman Allah Taala yang bermaksud:
“Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu dan doakanlah (untuk mereka dengan berkata) : ‘Wahai Tuhan kami! Cucuri rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku semasa kecil.” [Surah al-Isra' ayat : 24]
Pengorbanan ibu dan bapa yang tidak terkira nilainya dan amat tidak wajar dipandang remeh atau ringan oleh anak-anak. Apabila keduanya menghampiri daerah usia yang lanjut, bermusyarawarahlah sesama adik-beradik untuk saling berbakti selagi usia ibu bapa kita belum terhenti.
0 comments: